Jumat, 15 Desember 2017

Minta Petunjuk Mursyid

PANDUAN DAN DOA MENCARI GURU MURSYID

Seperti mana badan kita dipupuk oleh ibu-bapak kita dari bayi sehingga dewasa, begitu juga dengan roh kita memerlukan seseorang yang boleh mendidik dan mentarbiyyahnya secara berperingkat dari masa ke semasa. Pembimbing atau bapak rohani ini disebut sebagai Mursyid atau Murobbi. Ilmu yang diperlukan untuk membimbing dan terbimbing pula dipanggil sebagai ilmu tasawwuf.

Ilmu tasawwuf pada peringkat bimbingan ini mempunyai beberapa nama lain antaranya:

☆ Ilmu tariqat,
☆ Ilmu hakikat,
☆ Ilmu ihsan,
☆ Ilmu makrifat dan sebagainya.

=> Berkata Imam al-Ghazali: “Ilmu tasawwuf adalah fardu ain kerana tidak sunyi seseorang itu daripada aib atau penyakit batinnya melainkan para Nabi”.

=> Kata Syeikh Abu Hasan asy-Syazili: “Barangsiapa tiada masuk di dalam ilmu ini, yakni ilmu tasawwuf dan tiada mahir dengan selok-beloknya nescaya dia ditakuti mati atas beberapa dosa yang besar padahal ia tiada mengetahui akan yang demikian itu”.

=> Kata Syeikh Ibnu Abbad dalam syarah Hikam: “Dan ilmu tasawwuf inilah segala ilmu yang seharusnya bagi manusia  dikaramkan sepanjang umur di dalamnya sehingga umur yang lanjut untuk menuntutnya, dan jangan merasa cukup daripada ilmu ini walau banyak sekalipun yang dimilikinya apakan lagi kalau hanya dengan sedikit”

Adapun kadar fardu ain pada ilmu batin itu yakni ilmu tasawwuf ialah dia mengetahui suasana hati yang sejahtera daripada segala amal zahir yang fasad (rosak), dan sejahtera hatinya daripada yang membatalkan pahalanya, seperti  seseorang apabila solat dia berserta riya’ atau ujub atau sum'ah dan sebagainya yang boleh menghapuskan pahala solatnya itu.

Wajib hukumnya mencari al-Waris al-Muhammadi (guru Mursyid) untuk mempelajari adab dan mengenali aib-aib yang tersembunyi dan penyakit-penyakit hati. Akan tetapi mungkin ada yang bertanya bagaimana untuk mencari dan mengenal guru yang mursyid.Apakah syarat-syarat dan sifat-sifat guru mursyid?

Ketika seseorang berhajat kepada mursyid seperti perasaan seorang pesakit berhajat kepada doktor, maka dia perlu menguatkan azamnya dan membetulkan niat dan bertawajjuh kepada Alloh Taala dengan hati yang penuh kerendahan. Lalu menyeruNya di tengah malam dan berdoa dalam sujudnya dan selepas solat dengan doa begini:

اللهم دلني على من يدلني عليك واوصلني الى من يوصلني اليك.

(Allohumma dullani  'ala man yadulluni 'alaik wa au-silni ila man yuusiluni ilaik)

Maksud: “Ya Alloh, tunjukilah daku kepada orang yang akan menunjukkan daku kepadaMu dan sampaikanlah aku kepada orang yang menyampaikan daku kepadaMu”.

Doa diatas juga boleh dibaca pada bila-bila masa terutama setelah solat fardhu. Setelah itu dia mesti mencari Mursyid di negerinya dan jangan terpedaya dengan dakwaan sesetengah orang bahawa guru Mursyid Murabbi sudah tiada di zaman ini. Sekiranya tidak ditemui Mursyid di bandarnya maka dia mesti mencari di bandar-bandar yang lain.

Bukankah kita lihat seorang penderita penyakit zahir sanggup bermusafir ke negara yang jauh untuk berubat mencari doktor pakar.Maka mengubati hati dan ruh adalah lebih penting dan memerlukan kepada doktor-doktor yang lebih mahir daripada doktor-doktor badan.

Bagi mursyid perlu ada 4 syarat untuk memandu manusia:

1) Mestilah alim dengan hukum-hukum fardhu ain.
2) Mestilah seorang yang Arif BILLAH.
3) Mahir dengan cara-cara tazkiah nafsu dan wasilah tarbiyyah.
4) Diizinkan untuk membimbing dan mengijazah kepada orang lain daripada syeikhnya.

Ulama mengatakan bahawa seseorang yang benar-benar jujur dalam pencariannya mendapatkan guru mursyid, maka Alloh akan pertemukannya dan kadangkala berkat kejujurannya, Alloh menghantar sehingga mursyid datang mengetuk pintu rumahnya.

Sementara masih belum berjumpa dengan guru Mursyid, ulama tarbiyyah menasihati untuk memperbanyakkan bacaan selawat keatas Rosululloh SAW, insyalloh dengan cahaya dan berkat selawat itu Rosululloh sendiri yang menjadi mursyid dan murobbi kita.

Sumber: Ustaz Iqbal Zain

Tidak ada komentar:

Posting Komentar